Pages: nuffnang_bid = "a25e58467f783548fc

Saturday 22 June 2013

Kepentingan Kaedah Fonetik Kepada Guru Bahasa Melayu


      Kaedah fonetik dianggap sebagai kaedah pengajaran bahasa yang saintifik. Kaedah ini dikenali juga sebagai kaedah ’Reform’ atau ’Kaedah Lisan’. (Raja Mukhtaruddin, 1980). Melalui kaedah ini guru-guru boleh memulakan pengajaran dengan latihan mendengar, kemudian bergerak kepada latihan sebutan menurut susunan iaitu bunyi kepada perkataan, kemudian kepada rangkaikata, dan seterusnya kepada ayat. Kemudian, semua ini digabungkan menjadi dialog-dialog dan cerita-cerita. Melalui kaedah fonetik, tatabahasa disampaikan secara induktif, dan penulisan karangan pula berdasarkan bahan-bahan yang telah didengar dan dibaca.

       Kaedah fonetik ini membenarkan penggunaan bahasa yang telah diketahui oleh pelajar dalam pembelajaran bahasa baharu. Kaedah ini membandingkan persamaan dan perbezaan bahasa yang telah diketahui oleh pelajar dengan bahasa yang telah dipelajari daripada segi bentuk-bentuk, fungsi, bunyi, struktur ayat, dan makna tetapi perbandingan daripada segi bentuk dan fungsilah yang lebih diutamakan. Kaedah ini menggunakan bahasa yang diketahui oleh pelajar untuk mempelajari bahasa baharu daripada segi bunyi dan menerangkan perihal nahu berdasarkan perbandingan antara tatabahasa yang dipelajari dengan bahasa yang diketahui.

    Kaedah ini mengutamakan sebutan dan bahasa yang diajar ialah bahasa pertuturan. Isi dan bahan pengajaran dipilih, dikawal, dan disusun berdasarkan penyelidikan dan perbandingan antara bahasa ibunda pelajar dengan bahasa yang diajar. Perbendaharaan kata dan ayat-ayat yang diajar kepada pelajar disesuaikan dengan keperluan, peringkat umur, jenis, dan latar belakang pelajar. (Nik Hassan Basri Nik Ab. Kadir)

      Oleh sebab kaedah fonetik ini mementingkan perbandingan bentuk dan fungsi-fungsi bahasa kandung dengan bahasa kedua, maka dapatlah guru-guru menyediakan bahan-bahan pengajaran yang diajar dengan lebih tersusun dan teratur. Oleh kerana penyediaan bahan-bahan pengajaran disediakan lebih awal oleh guru, maka kanak-kanak dapat dilatih dengan lebih sempurna bagi mengenal atau memahirkan bentuk-bentuk atau corak-corak ayat yang tertentu. Dengan demikian, murid-murid mendapat asas bahasa yang kukuh. Justeru, mereka dapat memahami tatabahasa yang dipelajari dengan jelas dan tepat. Selain itu, murid-murid akan cepat bertutur dan membuat ayat dalam bahasa yang dipelajari dengan mengikut bentuk-bentuk ayat bahasa ibunda mereka sendiri.

No comments:

Post a Comment