Pages: nuffnang_bid = "a25e58467f783548fc

Monday, 5 November 2012

Kaedah Pengajaran Kemahiran Bertutur


Telah dimaklumkan bahawa kemahiran lisan (mendengar dan bertutur) dapat diajar melalui dua pendekatan, iaitu pendekatan situasi yang mementingkan penyebutan unsur-unsur bunyi bahasa atau kecekapan bahasa (tatabahasa); manakala pendekatan komunikatif mengutamakan kecekapan komunikatif, iaitu ketepatan penggunaan bahasa mengikut konteks penggunaannya dalam interaksi pertuturan. Berikut merupakan kaedah pengajaran yang dicadangkan berdasarkan sama ada pendekatan situasi mahupun pendekatan komunikatif.


Kaedah Terus

Kaedah terus beranggapan bahawa murid-murid dapat mempelajari bahasa dengan cara mendengar pelbagai perbualan dalam bahasa sasaran dan kemudian melibatkan diri dalam perbualan tersebut. Hal ini berlaku sebagaimana kanak-kanak belajar bahasa ibunda mereka, iaitu dengan cara mendengar, meniru dan mengulangi perlakuan bahasa yang mereka dengari sehinggalah mereka dapat membentuk satu kelaziman dalam berbahasa. Pengajaran bertutur melalui kaedah ini memperlihatkan beberapa ciri yang ketara, antara
lain:

(a) murid digalakkan memahami perkataan dan frasa yang sukar berdasarkan konteks penggunaan bahasa tersebut;

(b) sekiranya murid gagal juga memahami perkataan dan frasa tersebut, guru akan menghuraikan makna dengan menggunakan bahasa sasaran, lukisan, lakaran, lakonan, gerak laku dan lain-lain;

(c) aspek tatabahasa diajar melalui tunjuk cara dan contoh-contoh yang sesuai;

(d) murid dilatih membuat kesimpulan terhadap bentuk-bentuk struktur yang dipelajari secara induktif, dan

(e) guru bahasa perlu menggunakan pengetahuan linguistik bagi mengajar sebutan dan intonasi yang betul.


Berdasarkan ciri-ciri di atas itu, langkah-langkah pengajaran guru bolehlah ditetapkan seperti berikut:

(a) Guru akan memperdengarkan kepada murid satu perbualan mudah yang mengandungi ayat-ayat yang sempurna.

(b) Murid dilatih untuk berbual dengan menggunakan dialog perbualan yang diberi.

(c) Guru menggunakan teknik latih tubi bagi memastikan murid dapat menguasai sebutan dan intonasi serta dapat menyerapkan peraturan nahu yang terdapat pada pola-pola ayat dalam perbulan tersebut.

Kelebihan kaedah terus, murid boleh menguasai kemahiran bertutur dengan baik . Mereka juga terlibat secara aktif dalam pertuturan. Kaedah ini dianggap berjaya, jika murid dapat mempraktik atau mengguna kan kemahiran berbahasa yang diajarkan itu di luar bilik darjah.

Kelemahan kaedah terus terletak pada bahan pengajarannya. Bahan-bahan pengajaran yang digunakan oleh guru dalam kaedah ini merupakan bahan yang boleh dihafaz ataupun bahan perbualan yang telah ditetapkan. Bahan-bahan seperti ini mungkin tidak sesuai digunakan dalam situasi perbualan yang lazim digunakan dalam sesuatu masyarakat.


Kaedah Fonetik atau Kaedah Linguistik


Kaedah fonetik ini serupa dengan kaedah terus kerana mementingkan penggunaan bahasa dalam konteksnya daripada keperluan menghafaz rumus-rumus bahasa ataupun menghuraikan ayat-ayat secara pencilan. Sehubungan dengannya, guru terlebih dahulu, perlu memastikan penggunaan latih tubi unsur-unsur bahasa dalam aktiviti bertutur itu dikuasai sebaik-baiknya oleh murid sebelum mereka dibenarkan membaca bahan dalam konteks bahasa yang dipelajari itu. Bahan-bahan yang digunakan dalam pengajaran dipilih dan disusun mengikut prinsip-prinsip yang terdapat dalam ilmu linguistik. Justeru, ketika memilih perkataan, kaedah ini mendahulukan perkataan yang hampir-hampir sama bunyi daripada kedua-dua bahasa yang dibandingkan itu:

coffee - kopi
school - sekolah
radio - radio
bicycle - basikal
biscuit - biskut

Manakala pemilihan ayat-ayat pula dilakukan berdasarkan bentuk yang sama juga.
Subjek ,Kata kerja,Objek

Dengan demikian murid boleh memahami dan bertutur dalam bahasa sasaran dengan menggunakan sebutan yang baik. Guru bolehlah merancang pengajarannya seperti berikut:

(a) Guru menyebut bunyi perkataan-perkataan dalam bahasa sasaran;
(b) Murid dilatih tubi menyebut bunyi-bunyi tersebut;
(c) Guru memberi contoh-contoh struktur ayat atau unsur-unsur tatabahasa; dan
(d) Murid membuat kesimpulan berdasarkan contoh-contoh yang diberi oleh guru.


Kaedah Audio-Lingual

Kaedah audio-lingual ini menggunakan alat-alat rakaman bagi tujuan memudahkan murid menjalankan latihan bahasa, khasnya latihan bertutur secara intensif. Kaedah pengajaran ini berlandaskan prinsip-prinsip berikut:

(a) Bahasa adalah alat pertuturan bukan penulisan;

(b) Bahasa merupakan satu kebiasaan atau kelaziman;

(c) Murid mestilah diajar untuk menggunakan bahasa bukan dajar tentang pengetahuan bahasa;

(d) Bahasa ialah apa yang dituturkan oleh penutur natif; dan

(e) Bahasa berbeza anta ra satu sama lain.

Berdasarkan prinsip tersebut, kaedah ini mementingkan aspek pertuturan. Kaedah ini juga beranggapan bahawa pengajaran kemahiran bertutur merupakan proses untuk membentuk kelaziman pertuturan murid. Dengan demikian, kaedah ini mengutamakan penggunaan bahasa, justeru bahan sama ada yang digunakan atau diperdengarkan perlu mengambil contoh bahasa yang dipertuturkan oleh penutur natif bahasa berkenaan. Pun demikian, unsur-unsur bahasa asing yang berbeza dengan bahasa natif akan dilatihtubikan secara intensif supaya murid dapat membiasakan dirinya dengan kemahiran bahasa berkenaan dengan lebih mudah. Di samping itu, kaedah ini juga membolehkan murid memahami kebudayaan asing melalui amalan bahasa, iaitu melalui kemahiran bertutur. Untuk memastikan kaedah ini berjaya dilaksanakan, guru boleh mengatur langkah-langkah pengajarannya seperti berikut:

(a) Murid mendengar dialog dalam bahasa asing;

(b) Murid meniru dan menghafal dialog tersebut;

(c) Setelah menguasai sebutan, murid dilatih tubi untuk berdialog; dan

(d) Apabila murid telah dapat menghasilkan struktur ayat, guru memberi rumus-rumus ataupun peraturan struktur ayat yang dipelajari itu
.
Kaedah ini berjaya menghasilkan murid yang mahir dalam kemahiran bertutur. Kaedah ini juga dianggap sesuai dengan kanak-kanak kerana mereka suka meniru dan menghafaz. Walau bagaimanapun, murid sukar untuk menggunakan bahasa dalam konteks yang sebenar kerana situasi penggunaan bahasa tersebut tidak sama dengan dialog-dialog yang dihafaz.


Kaedah Komunikatif
Pembelajaran menggunakan kaedah komunikatif ini terbentuk berlandaskan teori interaksi.
Prinsip pengajaran menggunakan kaedah ini ialah:

(a) Kanak-kanak memperoleh bahasa melalui proses kognitif dan interaksi bahasa. Oleh itu, pengajaran bahasa mestilah merangkumi pengajaran kecekapan bahasa dan komunikatif.

(b) Kanak-kanak menguasai makna terlebih dahulu dan kemudian baharulah mereka dapat menggambarkan makna tersebut dalam struktur ayat yang tertentu. Dalam pengajaran bertutur, murid-murid melibatkan diri dalam aktiviti bahasa yang bermakna seperti dalam penyelesaian masalah, perbincangan, dialog, sumbang saran, wawancara dan lain-lain supaya mereka dapat berlatih menggunakan struktur bahasa yang diajar.

(c) Pengajaran bertutur mestilah melalui huraian bahasa dalam teks dan wacana dan bukan secara ayat pencilan. Ini bermakna, untuk berkomunikasi dengan berkesan, ayat-ayat tidak dihasilkan secara pencilan tetapi dalam suatu wacana.

(d) Pengajaran bertutur hendaklah mementingkan pengetahuan tentang bahasa dan penggunaan unsur bahasa dalam konteksnya. Dengan kata lain, pengajaran kemahiran bertutur tidak boleh bertumpu kepada aktiviti latih tubi atau latih amal unsur-unsur bahasa sahaja tetapi juga perlu memasukkan aktiviti-aktiviti penggunaan unsur-unsur bahasa yang telah dilatih tubi atau dilatih amal tersebut.

(e) Murid dibenarkan membuat kesilapan kerana dalam proses pemerolehan bahasa juga kanak-kanak akan melakukan kesilapan. Mereka melakukannya semasa mereka membuat percubaan hipotesis terhadap bahasa yang mereka gunakan. Kesimpulannya dalam proses pengajaran kemahiran bertutur, kaedah komunikatif ini
bertujuan untuk membolehkan murid menguasai kecekapan bahasa (tatabahasa), dan menguasai kecekapan menggunakan unsur-unsur bahasa yang dipelajari dalam konteks penggunaan yang sebenar yakni dalam komunikasi bahasa.

No comments:

Post a Comment