(a) Pendekatan Situasi
Pendekatan situasi dalam proses pengajaran dan pembelajaran yang diperkenalkan oleh Mackey (1965), antara lain menegaskan bahawa pernyataan lisan itu merangkumi semua unsur kefahaman mendengar dan penggunaan unsur-unsur bunyi bahasa yang betul dalam pola, nada dan intonasi tertentu. Pernyataan lisan ini juga meliputi aspek pemilihan katakata dan unsur-unsur infleksi yang disusun dengan betul supaya tergambar juga maknamakna yang betul mengenainya. Tegasnya, pendekatan situasi yang berlandaskan teori struktural dan teori pembelajaran behaviouris yang beranggapan bahawa untuk membolehkan seseorang itu menguasai kemahiran lisan (khasnya bertutur), terlebih dahulu beberapa kemahiran asas yang lain perlu dikuasai terlebih dahulu. Antara lain, menguasai kemahiran membuat tanggapan, mengingat, membunyikan perkataan dan juga aspek struktur bahasa berkenaan. Hal ini demikian kerana melaluinya aspek penggunaan dan penguasaan bahasa secara lisan dapat diperbaik dari semasa ke semasa. Dengan demikian, pendekatan situasi mestilah berlandaskan prinsip pengajaran berikut:
(a) Guru perlu memberi peneguhan kepada setiap satu gerak balas murid yang betul supaya gerak balas itu diulangi lagi;
(b) Murid mesti dilatih bertutur dengan menggunakan unsur-unsur bahasa yang digunakan oleh masyarakat;
(c) Guru perlu memahami proses yang terlibat dalam pertuturan supaya dia dapat memandu dan melatih murid-murid menggunakan alat-alat pertuturan mereka serta dapat menyebut bunyi dan struktur bahasa dengan betul;
(d) Pengajaran bertutur perlu dimulakan dari peringkat awal pengajaran bahasa untuk mendorong minat murid-murid belajar bahasa. Jika pengajaran kemahiran bertutur ini diajar pada peringkat lanjutan, iaitu setelah murid menguasai bahasa tulisan, keupayaan murid-murid bertutur dengan menggunakan bahasa yang betul akan terganggu. Hal ini deemikian kerana murid telahpun membentuk kelaziman sebutan bahasa yang salah;
(e) Penggunaan pita rakaman dapat membantu guru-guru melatih tubi murid-murid dalam latihan bertutur;
(f) Kelaziman bertutur dalam sesuatu bahasa berbeza. Apabila murid-murid mempelajari bahasa kedua, guru tidak boleh membiarkan mereka menghasilkan sebutan-sebutan bahasa sasaran secara automatik. Sebaliknya, guru perlu memandu murid-murid secara sedar (melalui aktiviti latih tubi) menggunakan alat-alat
pertuturan mereka bagi menghasilkan sebutan-sebutan bahasa yang baru mereka pelajari itu;
(g) Bagi penutur-penutur bahasa kedua, kelaziman-kelaziman bahasa pertama mereka akan mengganggu pembentukan kelaziman bahasa yang baru. Oleh itu, guru perlu melatih tubi murid-murid tersebut supaya dapat menghasilkan sebutan-sebutan yang betul.
Walau bagaimanapun Walkins (1975), berpendapat murid sukar memindahkan pengetahuan kemahiran bertutur yang dipelajari dalam bilik darjah kepada penggunaan dalam kehidupan seharian. Hal ini demikian kerana guru biasanya begitu menentukan bahasa yang perlu dihasilkan oleh murid-murid. Tujuannya, guru ingin membantu murid-murid memilih bahasa untuk digunakan dalam situasi tertentu. Maka, sebenarnya pembelajaran bahasa perlu berdasarkan kepada pengalaman yang sedia ada dalam kalangan murid-murid dalam kehidupan harian mereka. Sekiranya semua hasilan bahasa dikawal oleh faktor luaran, misalnya oleh guru, maka murid tidak mempunyai pengalaman untuk menguasai kecekapan bahasa mereka secara bersendirian. Ini bermakna murid tidak mampu memindahkan kemahiran bertutur yang diperoleh melalui situasi pembelajaran bahasa di dalam bilik darjah untuk digunakan dalam situasi penggunaan bahasa yang sebenarnya dalam kalangan masyarakat.
(b) Pendekatan Komunikatif
Pendekatan komunikatif cuba mengatasi masalah pengajaran bertutur yang terdapat dalam pendekatan situasi. Melalui pendekatan ini, penguasaan kemahiran bertutur bukan sahaja meliputi penguasaan kemahiran kecil untuk menanggap, mengingati, menyebut sistem bunyi dan struktur dalam sesuatu bahasa, tetapi kemahiran ini juga merangkumi kebolehan untuk menggunakan unsur-unsur tersebut dengan tepat dan sempurna dalam sesuatu interaksi bahasa. Ini bermakna, pendekatan komunikatif menegaskan bahawa kemahiran bertutur merangkumi kecekapan menggunakan unsur-unsur bahasa yang terkandung dalam kemahiran bertutur tersebut serta kecekapan berkomunikasi dalam sesuatu interaksi atau komunikasi bahasa. Untuk memastikan kemahiran bertutur itu bukan sahaja meliputi kecekapan bahasa tetapi juga kecekapan berkomunikasi, pendekatan komunikatif mencadangkan bahawa pengajaran bertutur mestilah berlandaskan prinsip-prinsip berikut:
(a) Kemahiran bertutur melibatkan murid menguasai kecekapan berbahasa dan menggunakannya dalam konteks penggunaan bahasa yang sebenarnya. Dengan demikian, kedua-dua kecekapan itu perlu diajarkan dalam pelajaran bertutur;
(b) Guru perlu mendorong murid berinteraksi dengan rakan-rakan mereka. Justeru, komunikasi sebagai objektif kemahiran bertutur perlu menjadi objektif dalam proses pengajaran dan pembelajaran guru dalam bilik darjah;
(c) Pembelajaran kemahiran bertutur melibatkan proses kognitif. Sehubungan dengannya guru perlu mendedahkan murid kepada pelbagai situasi formal dan tidak formal dalam pengajaran dan pembelajaran kemahiran mendengar dan bertutur. Dengan demikian, murid dapat menggunakan berbagai-bagai strategi komunikasi yang sesuai dengan situasi bertutur tersebut. Pendedahan yang begini dapat melatih murid memikir dan menggunakan berbagai-bagai bentuk bahasa, bentuk paralinguistik dan bukan linguistik bagi menyampaikan mesej mereka dengan lebih berkesan;
(d) Guru perlu membentuk hubungan yang positif antara dan dalam kalangan murid dengan guru. Dengan ini, terbentuklah persekitaran pembelajaran yang boleh mendorong murid untuk bertutur dengan lebih selesa, yakin dan berkesan; dan
(e) Sesuatu aktiviti bertutur dapat terlaksana dengan lebih berjaya jika murid mempunyai pengalaman dan pengetahuan tentang perkara yang dibincangkan. Dengan demikian guru perlu mendedahkan murid kepada pengalaman dan pengetahuan itu melalui alat bantu mengajar, lawatan, keratan akhbar, bahan bacaan dan bahan rakaman menjadi semakin perlu.
Pendekatan situasi mengutamakan ketepatan penggunaan unsur-unsur bahasa dalam pertuturan. Dengan itu, aktiviti bertutur merupakan aktiviti latih tubi supaya murid dapat menyebut bunyi dan struktur bahasa dengan betul. Contohnya, menyebut sesuatu dialog atau karangan lisan sebagaimana berikut.
Wanita : Pak cik, bil air boleh bayar di kaunter ini ke?
Kakitangan pos : “Pak cik”?
Wanita : (terdiam)
Kakitangan pos : Cik adik...umur saya ni baru 35 tahun, kenapa panggil pak cik?
Wanita : Maafkan saya. Tetapi bapa saudara saya yang bongsu baru berumur 30 tahun. Dia pak cik saya.
Kakitangan pos : Lain kali panggil saya abang atau encik. Saya berkahwin pun belum.
Sebenarnya, terdapat persamaan pendekatan situasi dan komunikatif dalam pengajaran kemahiran bertutur. Kedua-dua pendekatan ini menggambarkan dalam pengajaran kemahiran bertutur, guru perlu memberi latihan kepada murid-murid menggunakan unsurbunyi bunyi dan struktur bahasa terlebih dahulu sebelum menyuruh murid melaksanakan sesuatu aktiviti melibatkan kemahiran bertutur. Tanpa latihan daripada guru, murid-murid tidak akan dapat menguasai kemahiran bahasa: bertutur dengan menggunakan bahasa yang tepat dan berkesan.
No comments:
Post a Comment