Pages: nuffnang_bid = "a25e58467f783548fc

Tuesday 6 November 2012

Aktiviti Pengajaran Kemahiran Bertutur



Teknik pengajaran boleh dipraktikkan dalam bilik darjah melalui aktiviti-aktiviti pembelajaran. Sebagaimana teknik, terdapat jpelbagai aktiviti yang boleh dijalankan semasa prose mengajar kemahiran bertutur dalam bilik darjah. Walau bagaimanapun, modul ini hanya membincangkan beberapa contoh aktiviti yang sering digunakan oleh guru di dalam bilik darjah.


Latih Tubi Sebutan

Latih tubi sebutan dijalankan untuk melatih murid menguasai bunyi-bunyi bahasa, sebutan dan pola ayat berdasarkan bahagian-bahagian dialog yang akan ditiru dan dihafaz oleh murid.

Latih tubi penyebutan bunyi ini juga meliputi latih tubi menyebut bunyi fonem dalam perkataan yang mungkin menimbulkan masalah sebutan, dan pasangan minimal yang boleh menghasilkan makna yang berbeza.  Contoh, Daki - Laki. 

Latih tubi pemintal lidah bertujuan untuk melatih murid-murid menyebut sesuatu bunyi itu dengan betul dan tepat. Biasanya latih tubi jenis ini mengandungi bunyi-bunyi yang menjadi masalah kepada murid. Misalnya, kelemahan menyeb ut fonem /p/

- Pandang pandan tepi pagar depan padang.
- Cuba pandang lopak-lopak air tepi jalan dengan pantas.


Nyanyian

Seni kata lagu digunakan sebagai bahan untuk ditiru dan dihafaz oleh murid-murid. Aktiviti nyanyian dapat membantu murid menguasai kemahiran bertutur kerana menyanyi memerlukan penyebutan bunyi-bunyi dengan betul, mengikut rentak dan nada yang tertentu.  Contoh,

Saya ada kucing,
Namanya Miaouw,
Miaouw suka makan ikan.


Latihan Pandang dan Sebut

Gambar-gambar boleh digunakan sebagai bahan rangsangan untuk menghasilkan pertuturan. Latihan pandang dan sebut merupakan latih tubi bertutur dengan menggunakan gambar-gambar yang dimasukkan dalam teks latihan. Di samping itu, kad imbasan bergambar, carta bergambar, bahagian filem dan slaid sering juga digunakan.


Karangan Lisan

Karangan ini disampaikan dalam bentuk lisan, dihasilkan oleh murid-murid berdasarkan bahan yang diberi oleh guru. Bahan tersebut menjadi bahan rangsangan kepada murid untuk bersoal jawab, membuat latihan lisan bagi tujuan memperoleh bahan untuk menulis
karangan bebas.

Latihan bersoal jawab merupakan latihan lisan sama ada berdasarkan petikan yang dibaca ataupun senarai gambar yang disediakan. Dalam latihan ini, murid-murid dikehendaki menjawab soalan-soalan yang dikemukakan oleh guru secara lisan.

Dalam latihan penghasilan pula, murid-murid diberi petikan untuk dikaji. Kemudian, muridmurid dikehendaki menghasilkan petikan itu semula dengan menggunakan perkataan mereka sendiri. Dalam hal ini aspek kemahiran lisan: mendengar dan bertutur jauh lebih penting daripada menghasilkan karangan bertulis.


Memproses Maklumat

Aktiviti ini dilakukan dalam kumpulan berempat atau berlima. Umumnya, murid-murid mempunyai jurang maklumat. Dalam hal ini komunikasi wujud kerana timbul keperluan untuk berbincang dan menilai fakta-fakta yang diberi dalam kumpulan bagi tujuan menyelesaikan sesuatu tugasan/masalah yang berkaitan.


Interaksi Sosial

Aktiviti ini berfokus kepada penggunaan bahasa yang sesuai dalam konteks sosial/situasi tertentu, dilaksanakan dalam bilik darjah berbentuk perbualan, perbincangan, simulasi dan lakonan. Sebaik-baiknya, aktiviti ini disusun dari peringkat mudah kepada peringkat yang lebih mencabar.



No comments:

Post a Comment