Proses Mendengar
Umumnya, komunikasi lisan melibatkan dua proses, iaitu penghasilan dan penerimaan mesej. Proses pertama terlaksana melalui pertuturan sementara proses yang kedua berlaku melalui pendengaran. Terdapat pernyataan bahawa dalam pengajaran bahasa, aspek pendengaran amat kurang diberi perhatian oleh guru. Proses mendengar biasanya berlaku secara berperingkat.
Empat peringkat proses mendengar:
(a) mendengar deretan bunyi-bunyi bahasa;
(b) memahami bunyi-bunyi bahasa tersebut;
(c) menilai bunyi-bunyi yang diperdengarkan; dan
(d) bertindak balas terhadap bunyi-bunyi tersebut.
Dalam erti kata lain ketika mendengar, seseorang itu akan membuat tanggapan terhadap gabungan bunyi-bunyi bahasa yang didengarinya itu. Kemudian pendengar itu akan menghubungkan bunyi-bunyi bahasa itu dengan makna berasaskan pengetahuan dan pengalamannya. Proses menanggap bunyi dan mentafsir makna sesuatu sebutan berlaku secara serentak berdasarkan pengalaman dan pengetahuan pendengar berkenaan. Akhirnya, bunyi bermakna sebagaimana yang ditanggapi oleh pendengar itu tadi akan digunakan sebagai asas bagi membuat tindakan, huraian atau menyatakan pengalamannya kepada orang yang menghasilkan bunyi bahasa tersebut.
Penjelasan ini menegaskan bahawa dalam proses mendengar, seseorang pendengar yang baik menggunakan alat pendengaran dan keupayaan akalnya secara bijaksana. Justeru, anggapan bahawa mendengar merupakan kemahiran bahasa yang pasif tidak boleh diterima. Ini kerana mendengar merupakan proses yang kompleks melibatkan proses mendengar, memahami, menghurai dan menilai apa yang didengarinya itu sebelum sesuatu gerak balas yang sewajarnya dapat dilakukan.
Apa yg dimaksudkan dengan mendengar deretan bunyi-bunyi bahasa?
ReplyDelete