Pages: nuffnang_bid = "a25e58467f783548fc

Sunday 4 November 2012

Kemahiran Bertutur: Aspek-aspek Pertuturan


Aspek-Aspek Pertuturan

(a) Sebutan: Dalam aspek sebutan murid-murid diajar mengenal dan membunyikan setiap huruf, suku kata, perkataan, frasa kata dan ayat. Dalam hal ini, murid-murid diajar menyebut dan membunyikan suku kata dan perkataan dengan jelas dan tepat mengikut kaedah bunyi, sebutan dan maknanya. Aspek ini penting, terutamanya melibatkan perkataan yang mempunyai ejaan yang sama tetapi kaedah sebutan dan makna yang berlainan seperti semak, boleh dibunyikan sebagai /semak/ dan /sǝmak/ dan seumpamanya;

(b) Tekanan: Tekanan merujuk kepada cara dan bagaimana penutur menyebut dan memberi tekanan kepada sama ada suku kata, perkataan atau rangkai kata tertentu bagi tujuan menegaskan sama ada keras atau lembutnya sesuatu pengucapan;

(c) Mora (panjang-pendek): Mora atau panjang-pendek merupakan kadar (dalam bahasa Arab disebut ‘harakat’), tidak begitu membezakan makna dalam bahasa Melayu;


(d) Jeda (persendian): Unsur ini merujuk kepada aspek persendian – memisahkan elemen-elemen linguistik dalam perkataan, rangkai kata atau ayat. Dalam ayat, jeda digunakan sebagai hentian sementara yang boleh membezakan makna jika unsur ini digunakan. Misalnya ungkapan, ‘jangan tembak,’ jika tidak menggunakan jeda bermaksud larangan melepaskan tembakkan, sebaliknya jika jeda digunakan, ‘jangan/tembak,’ bermaksud menangguhkan seketika dan kemudiannya melepaskan tembakkan!


(e) Intonasi: Intonasi merujuk kepada kedaan sama ada dilafazkan secara menurun atau menaik sesuatu. Intonasi dalam ayat sama ada menaik, menurun atau mendatar berbeza-beza mengikut jenis ayat. Misalnya, ayat tanya biasanya mempunyai intonasi menaik, manakala ayat penyata mempunyai intonasi menurun di hujung ayat.

(f) Nada: Nada merujuk kepada keadaan bunyi sama ada menaik atau menurun ketika sesuatu perkataan itu disebut. Dalam muzik misalnya terdapat lapan nada: Do, Re, Mi, Fa, So, La, Ti dan Do – setiap nada mewakili satu suku kata. Pun demikian dalam bahasa Melayu, nada tidak bersifat fonemik berbanding dengan bahasa Cina, kewujudannya lebih jelas.

(g) Tatabahasa: Aspek tatabahasa merujuk kepada aturan, formula, kaedah dan tatacara menentukan hukum dalam berbahasa – meliputi bidang fonologi, sintaksis dan semantik. Aspek tatabahasa dalam pertuturan kerap kali tidak diberatkan berbanding dalam aktiviti penulisan. Walau bagaimanapun untuk memperoleh kebiasaan yang baik dan kesan yang mendalam dalam pengucapan, aspek tatabahasa perlu diguna pakai sebaik-baiknya;


(h) Kelancaran: Aspek kelancaran menegaskan perihal dan keupayaan murid bertutur dengan baik, teratur dan kemas tanpa gangguan/tersekat. Ini banyak dipengaruhi dan ditentukan oleh tahap penguasaan dan kecekapan berbahasa dalam kalangan murid-murid.

(i) Kefasihan: Aspek kefasihan menentukan bukan sahaja murid boleh bertutur dengan baik, lancar dan berkesan, sebaliknya boleh membunyikan kata atau menyebut perkataan dalam ayat dengan jelas, betul dan betul;

(j) Laras bahasa: Aspek laras bahasa dalam konteks ini menegaskan kemahiran murid-murid menggunakan bahasa dalam konteks yang situasi, keadaan dan disiplin ilmu berlainan. Ini penting bagi tujuan mempastikan murid-murid boleh berkomunikasi secara berkesan.



2 comments:

  1. hai . boleh tak nyatakan bahan rujukan ?

    ReplyDelete
  2. Hello.... bolehkah saya hendak mengetahui bahan rujukan blog ini... saya berasa susah apabila saya hendak membuat esaimen .....

    ReplyDelete