Pages: nuffnang_bid = "a25e58467f783548fc

Friday 20 July 2012

Bacaan intensif

Bacaan intensif adalah bacaan yang pada asasnya bertujuan memperkembangkan kebolehan dalam meneliti, memahami dan mentafsir apa sahaja yang dibaca dengan tepat. Di samping itu, ia memberi tekanan kepada kajian terhadap ciri-ciri tatabahasa, meneliti pembentukan dan penggunaan perkataan, serta pemakaian bahasa itu dalam konteks dan situasi yang berlainan. Latihan-latihan bacaan intensif biasanya memerlukan bimbingan dan bantuan penuh daripada guru-guru terutama dalam menghadapi dan menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh murid-murid.


Konsep
(a) Ia merupakan satu kegiatan membaca yang dikaitkan dengan usaha melanjutkan lagi perkembangan pembelajaran bahasa pelajar di bawah pimpinan guru.

(b) Ia memberi asas untuk pengajar memberi penjelasan atau keterangan mengenai struktur yang sukar dan juga memberi asas untuk memperkembangkan perbendaharaan kata.

(c) Ia dikaitkan dengan aktiviti mengkaji ciri-ciri tatabahasa iaitu susunan kata dalam ayat dan pengertian menurut kamus yang ditemui oleh pelajar dalam bacaannya.

(d) Ia mengembangkan lagi usaha mengawal penggunaan bahasa dalam pertuturan dan tulisan.

(e) Gerak laju dan kelainan latihan adalah dianggap amat penting.


Tujuan
(a) Untuk membolehkan kanak-kanak membaca dengan baik. Betul dari segi sebutan, intonasi, lancar dan tahu menggunakan tanda-tanda bacaan dengan baik.

(b) Untuk mengembangkan kebolehan mentafsir apa yang tertulis dalam bacaan itu dengan mengkaji susunan kata dalam ayat dan pengertian dalam kamus.

(c) Membaca secara senyap dengan kepantasan yang sewajarnya.

(d) Menilai atau mengulas isi-isi yang diperolehi daripada bahan-bahan yang dibaca.

(e) Mengesan, memaham dan menikmati unsure-unsur estetik dalam bahasa.

(f) Mengenalpasti laras bahasa yang berbagai-bagai.

(g) Membuat rumusan atau kesimpulan daripada apa yang dibaca dan sebagainya.


Aktiviti bacaan intensif

(a) Bahan-bahan bacaan intensif ini bolehlah dibincangkan bersama oleh pelajar-pelajar dalam kelas, kadang-kadang dianalisa dan seterusnya dijadikan asas untuk latihan-latihan menulis.

(b) Pelajar-pelajar patut dibenarkan menggunakan kamus atau sebuah buku teks rujukan tatabahasa.

(c) Aktiviti dalam kelas hendaklah ditukar setiap hari. Hari pertama misalnya, mengkaji perkataan dengan menggunakan imbuhan, hari kedua ‘latihan perkamusan’, hari ketiga ‘latihan meneka maksud mengikut konteks’, hari keempat ‘membaca dengan laju’ dan sebagainya.

(d) Soalan-soalan untuk bahan Bacaan Intensif boleh dipelbagaikan iaitu bentuk objektif, bentuk salah betul, bentuk lisan ataupun bentuk jawapan bertulis.

(e) Segala kajian harus dibuat secara mendalam.

No comments:

Post a Comment