Pages: nuffnang_bid = "a25e58467f783548fc

Thursday 19 July 2012

MURID DAN ALAM BELAJAR


Motivasi dan Pendekatan Sosiobudaya

Pendekatan sosiobudaya ialah hasil gabungan antara pendekatan behaviorisme dan pendekatan kognitivisme. Oleh itu, pendekatan ini mengambil kira penekanan ahli behaviorisme ke atas kesan atau hasil sesuatu tingkahlaku dan minat ahli kognitif ke atas impak hasil daripada kepercayaan serta harapan murid itu. Pendekatan ini boleh dikaitkan dengan teori efikasi kendiri dalam memotivasikan murid. Pendekatan ini juga mementingkan penglibatan manusia dalam aktiviti atau bertingkah laku agar dapat mengekalkan identiti dan hubungan interpersonal dalam suatu masyarakat.

Tokoh sosiobudaya mengatakan bahawa motivasi adalah sesuatu yang bersifat sosial dan oleh sebab itu mereka menekankan penglibatan guru dalam komuniti amalan. Hal ini bermaksud murid-murid akan lebih bermotivasi untuk belajar sekiranya rakan sebaya mempunyai motivasi untuk belajar dan masyarakat sekelilingnya juga menitikberatkan soal pembelajaran. 

Tokoh yang menjadi pelopor kepada pendekatan ini ialah Albert Bandura yang telah banyak membuat kajian mengenai bagaimana manusia belajar melalui pemerhatian, peniruan dan peneguhan vicarious (mengharapkan peneguhan yang sama apabila memerhati orang lain yang mendapat ganjaran apabila melakukan sesuatu tingkah laku). Contoh kajian yang beliau pernah lakukan ialah melihat bagaimana kanak-kanak belajar melalui modelling. Di samping itu, beliau juga telah mengkaji bagaimana persepsi kita terhadap ancaman boleh mempengaruhi rembesan neurotransmitters serta hormon yang berkaitan dengan tekanan ke dalam pengaliran darah. Oleh yang demikian, beliau telah mengutarakan satu konsep iaitu efikasi kendiri. Selain itu, Bandura telah berjaya mengembangkan sejenis teori kognitif sosial yang berkisar mengenai bagaimana manusia berfungsi.

Albert Bandura (1963) telah menggabungkan teori psikologi tingkah laku dan psikologi kemanusiaan ke dalam kerangka Model Efikasi Kendiri dan seterusnya model ini dapat menerangkan dengan jelas tentang proses perubahan tingkah laku. Kebolehan murid merubah tingkah laku mereka bergantung kepada tiga aspek kendiri yang utama. Aspek yang pertama ialah keputusan murid tersebut sama ada ingin mencuba sesuatu tindakan atau tidak melakukannya, aspek kedua pula ialah ketabahan murid untuk melaksanakan sesuatu tindakan dan aspek yang ketiga ialah kejayaan seseorang murid dalam menjalankan tugasnya atau kelakuan baru dengan kemahiran yang mencukupi dan insentif yang bersesuaian.

Jika dilihat kepada teori pembelajaran sosial Bandura (1997), beliau menyarankan betapa pentingnya pemerhatian, peniruan dan peneguhan vikarious. Peneguhan vikarious ialah keadaan apabila murid mengharapkan peneguhan yang sama jika memerhatikan orang lain mendapat ganjaran hasil dari tingkah laku mereka. Salah satu contoh daripada peneguhan vikarious ialah apabila murid memandang tinggi serta mengagumi gurunya, maka dia akan tekun belajar kerana ingin menyerupai model yang dikaguminya itu serta menginginkan peneguhan daripada gurunya itu. Kesimpulannya, peneguhan vikarious dan peneguhan langsung amat penting dalam meningkatkan efikasi kendiri murid terhadap sesuatu tugas dan seterusnya akan membawa ke peringkat motivasi yang lebih tinggi.

Menurut Bandura lagi, seseorang individu akan bertingkahlaku berdasarkan kepada kepercayaan mereka menilai kebolehan diri sendiri berbanding dengan apa yang sebenarnya boleh dicapai oleh mereka. Ini bermaksud persepsi efikasi kendiri membantu dalam menentukan bagaimana murid menggunakan kemahiran dan pengetahuan yang diperolehi. Hal ini disebabkan oleh tingkah laku murid yang kadangkala berbeza dengan kebolehan sebenar dan tingkah laku tetap berbeza walaupun mempunyai kemahiran dan pengetahuan yang sama.

Kepercayaan efikasi kendiri akan merangsang pencapaian murid dan seterusnya mempengaruhi pilihannya terhadap tindakan yang akan diambil selanjutnya. Oleh itu, murid lebih cenderung untuk memilih tugasan dan aktiviti yang mereka rasa kompeten dan yakin. Mereka akan mengelak tugasan atau soalan yang dirasakan tidak mampu untuk menjawabnya kerana walau apa jua faktor yang beroperasi, kepercayaan murid terhadap dirinya sama ada boleh atau tidak mencapainya tetap menjadi asas utama.

Selain itu, kepercayaan efikasi kendiri juga membantu dalam menentukan berapa banyak usaha murid boleh melibatkan diri dalam sesuatu aktiviti, tempoh masa untuk berusaha apabila berdepan dengan halangan serta betapa kuatnya diri mereka apabila berada dalam situasi yang sukar. Semakin tinggi efikasi kendiri murid, semakin tekun dan berusaha seseorang murid itu. Seseorang murid yang mempunyai kompetensi peribadi yang tinggi akan menghadapi tugasan atau soalan-soalan yang diajukan dengan tenang. Murid ini juga mempunyai motivasi dan minat intrinsik serta akan melibatkan diri secara aktif semasa sesi pengajaran dan pembelajaran.

Kepercayaan efikasi kendiri turut mempengaruhi pola pemikiran dan reaksi emosi murid. Ini kerana efikasi kendiri akan membantu menenangkan murid apabila menghadapi tugas atau masalah yang sukar. Individu yang mempunyai efikasi kendiri rendah seperti percaya bahawa sesuatu perkara atau soalan lebih sukar daripada sebenarnya dan kepercayaan ini akan menyebabkan wujudnya kebimbangan, stress, kemurungan serta jalan penyelesaian yang sempit untuk menyelesaikan masalah yang dihadapinya. 

Komuniti pembelajaran turut memainkan peranan penting dalam memotivasikan murid kerana mereka merupakan sekumpulan manusia yang saling berkongsi, bertindak secara koperatif dan kolaboratif, mempunyai matlamat yang dikongsi bersama serta saling membantu dalam proses belajar. Komuniti pembelajaran merujuk kepada sekecil-kecilnya kelompok manusia yang berkongsi cara hidup yang sama sehingga ke sebesar-besar kumpulan masyarakat. Komuniti pembelajaran juga boleh merujuk kepada perentasan kurikulum yang dipelajari secara hubung kait atau bersepadu dan bukannya terpisah. Menurut McMillan dan Cavis (1986), komuniti pembelajaran terdiri daripada empat ciri iaitu keahlian, pengaruh, memenuhi keperluan individu dan berkongsi peristiwa atau tindakan dan perasaan. Selain itu, komuniti pembelajaran juga merangkumi sekumpulan manusia yang berkongsi nilai dan kepercayaan dan secara aktif belajar bersama-sama dan juga belajar dengan individu lain.

Sekolah dan bilik darjah merupakan satu komuniti pembelajaran yang tidak kurang pentingnya sehingga boleh disamakan dengan satu keluarga yang rapat. Menurut Poston, Stone dan Murther (1992), “A school is a reflection of the community it serves. At the same time, a community is a reflection of its school”. Kenyataan ini membuktikan sekolah dan komuniti tidak dapat dipisahkan kerana hubungan kedua-duanya ini saling bergantungan antara satu sama lain. Kementerian Pelajaran Malaysia juga memperakui kepentingan hubungan ini. Sekolah memainkan peranan penting kerana apabila pihak sekolah mengutamakan pencapaian yang tinggi dalam akademik dan kokurikulum, murid-murid akan bermotivasi untuk mencapainya. Kepentingan hubungan sekolah dan komuniti selaras dengan pendapat Poston et. al. (1992) iaitu, “You cannot build a great school alone. The school needs the community and the community needs the school”. Oleh itu, kenyataan ini menunjukkan terdapat faedah tertentu hasil hubungan yang erat antara sekolah dan komuniti. 

Komuniti pembelajaran memainkan peranan penting dalam memberikan motivasi kerana mereka perlulah membenarkan ahlinya meluahkan perasaan dan pandangan, mengeluarkan idea, saling membantu dan ajar apa yang patut. Lantaran, komuniti pembelajaran dalam satu bilik darjah dapat bergerak sebagai satu kumpulan yang mantap. Hal ini kerana pembelajaran dalam komuniti pembelajaran yang sihat akan membentuk insan yang berkembang secara menyeluruh dan menjadi ahli masyarakat yang positif. 

Pengalaman pembelajaran murid bukan sahaja dipengaruhi oleh pengalamannya di sekolah semata-mata tetapi lebih luas daripada itu. Pada hakikatnya, guru tidak dapat mengawal persekitaran di luar sekolah murid dan oleh itu guru perlu mengambil kira faktor konteks luar dan berusaha sebaiknya untuk mendapatkan kerjasama komuniti serta masyarakat dalam usaha membentuk peribadi murid-muridnya. Kenyataan ini berkaitan pula dengan Teori Bronfenbrenner yang terdiri daripada lima sistem iaitu mikrosistem, mesosistem, ekosistem, makrosistem dan kronosistem. 
Jika dilihat kepada faktor ibu bapa, mereka tergolong dalam mikrosistem di mana mereka adalah individu yang hampir dengan murid-murid. Hoover-Dempsey dan Sandler (1997) telah mengemukakan model penglibatan ibu bapa dan dari perspektif psikologinya, model ini menerangkan mengapa ibu bapa melibatkan diri dalam pendidikan anak-anak mereka serta bagaimana penglibatan mereka boleh mempengaruhi pencapaian anak mereka di sekolah. Model ini mempunyai aras dan aras yang paling tinggi ialah pencapaian kanak-kanak manakala aras paling rendah ialah penglibatan ibu bapa itu sendiri.

Menurut Solomon, Battishich, Watson, Schaps dan Lewis (2000), murid-murid yang mempunyai perasaan jaminan komuniti lebih berkecenderungan bermotivasi dari segi akademik, bertindak secara beretika dan altruistik serta berupaya membentuk kecekapan sosial dan emosi. Guru juga perlu menyedari bahawa pencapaian murid bergantung kepada motivasi diri mereka dan usaha guru yang mengajar mereka. Guru perlu berusaha untuk membantu murid mereka yang bermasalah agar mereka tidak kecundang dalam hidup. 

Guru juga boleh menggunakan perkataan-perkataan yang khusus untuk memberi penekanan dan perhatian terhadap murid yang bermasalah. Tujuannya ialah untuk menonjolkan kekuatan yang positif yang terdapat dalam diri murid itu sendiri. Antara perkataan yang boleh digunakan ialah “anda tidak akan berjaya selagi anda tidak membuktikan kejayaan tersebut”. Kajian menunjukkan bahawa penggunaan perkataan ini memberi keputusan yang membanggakan. Guru juga perlu menyedari bahawa peranan yang dimainkan oleh guru yang mengajar dalam kelas adalah lebih efektif berbanding dengan peranan yang dimainkan oleh kaunselor semasa sesi kaunseling.

Secara umumnya pengaruh sosial kepada motivasi pelajar terbahagi kepada tiga aspek iaitu persaingan, sikap individu murid dan konsep kerjasama. Persaingan yang sihat perlu dipupuk dalam kalangan murid kerana persaingan dapat meningkatkan motivasi seseorang murid untuk belajar lebih tekun. Murid yang mempunyai pesaing juga dilihat mempunyai keyakinan dan minat yang tinggi dalam pelajaran serta sentiasa bersemangat di dalam kelas kerana semulajadinya setiap individu ingin menjadi orang yang pertama. 
Aspek kedua ialah sikap individu murid. Sikap murid itu sendiri merupakan perkara paling penting kerana jika mereka tidak berminat dan tiada matlamat yang ingin dicapai, maka guru tidak dapat berbuat apa-apa selain daripada memberi motivasi dan dorongan yang termampu sahaja. Kadang-kala terdapat juga murid yang mempunyai matlamat yang salah iaitu inginkan ganjaran yang ditawarkan oleh guru semata-mata dan kebiasaannya tindakan ini hanya untuk dirinya sendiri sahaja. oleh itu matlamat utamanya ialah mendapatkan apa yang diinginkan sahaja.

Aspek yang terakhir ialah konsep kerjasama yang mana memerlukan murid-murid berusaha bersama-sama untuk mendapat kejayaan yang diingini. Sebagai murid yang berada dalam komuniti pembelajaran yang sama, rakan sekelas yang berjaya perlu memberi kerjasama yang baik untuk membantu rakan yang lemah dan bermasalah agar sama-sama berjaya di dalam peperiksaan. 

Kesimpulannya, pendekatan sosiobudaya adalah berkaitan konsep identiti dan identiti pula berpunca daripada penglibatan dalam komuniti pembelajaran yang berada di persekitarannya. Jika baik kedua-duanya, maka masalah murid yang tidak mempunyai motivasi dapat ditangani dengan baik. Oleh itu murid perlu dimotivasikan untuk belajar nilai serta amalan kumpulan, komuniti dan masyarakat di mana murid tersebut berada agar dapat mengekalkan identitinya yang sebenar.

No comments:

Post a Comment