Bacaan Mekanis
mekanis ialah bacaan bersuara yang menyuarakan tulisan dengan sebutan yang jelas dan terang, dengan intonasi dan irama mengikut gaya membaca yang betul dengan menggerakkan alat-alat pertuturan. Bacaan bersuara biasanya dilaksanakan di kelas-kelas rendah atau pada peringkat kelas permulaan. Gunanya adalah untuk latihan teknik supaya kanak-kanak dapat menyembunyikan bunyi-bunyi sebutan dengan sebutan, gaya, dan rentak irama yang sempurna.
Tujuan
Bacaan mekanis mempunyai beberapa tujuan:
(a) Membolehkan murid-murid membaca dengan cekap dan pantas dengan sebutan dan intonasi yang betul dan jelas.
(b) Membolehkan murid-murid membaca dengan irama membaca yang betul.
(c) Mengembangkan atau mempelajari unsur bahasa seperti tatabahasa, kosa kata dan juga apabila menggunakan kamus.
(d) Membolehkan murid-murid tahu menggunakan tanda-tanda baca serta tahu pula berhenti pada tempat-tempat berhenti yang betul.
(e) Dapat menggunakan kemahiran bahasa dalam mata-mata pelajaran yang lain.
(f) Untuk membolehkan murid-murid mencapai kemahiran dan kecekapan membaca bersuara.
(g) Dapat mengenal pasti laras bahasa yang pelbagai.
(h) Menikmati unsur estetik dalam bahan bacaan.
(i) Dapat mengulas isi yang terdapat dalam bahan bacaan.
Aktiviti bacaan mekanis
Antara cadangan aktiviti bacaan mekanis;
(a) Guru memberikan satu petikan dalam satu masa khas untuk bacaan, sesuai dengan kebolehan dan umur murid-murid.
(b) Bersoal jawab dan membantu murid-murid dengan perkataan-perkataan dan rangkai kata yang susah sama ada dari segi sebutan atau makna perkataan-perkataan itu.
(c) Guru membaca sebagai contoh dan murid-murid menyemak bacaan guru.
(d) Guru membaca dan murid-murid mengikut. Boleh dilakukan secara kelas atau kumpulan.
(e) Guru memandu murid-murid membaca secara individu bergilir-gilir.
(f) Guru berbincang dan bersoal jawab dengan murid-murid mengenai isu bacaan untuk menguji kefahaman mereka. Ini boleh dilakukan secara lisan dan bertulis.
No comments:
Post a Comment