Pages: nuffnang_bid = "a25e58467f783548fc

Thursday, 19 July 2012


Kemahiran Belajar

            Menurut Ramlan Hamzah dan Lily Mastura Harun (2008), mengatakan “belajar ialah satu proses tindakan yang dilakukan oleh seseorang untuk mendapatkan suatu perubahan tingkah laku yang baru secara keseluruhan sebagai hasil pengalaman individu itu sendiri dalam interaksi dengan persekitarannya”.  Konteks istilah di atas menerangkan bahawa belajar merupakan kemahiran yang amat penting dalam proses tingkah laku pembelajaran secara keseluruhannya.  Setiap individu haruslah mempunyai kemhiran belajar yang berkualiti, termasuklah individu yang bergelar guru.  Hal ini penting kerana seorang guru mampu melahirkan generasi muda yang berpotensi tinggi dalam akademik mahupun secara keseluruhan dalam aspek kehidupan masa kini, jika seorang guru itu mengamalkan kemahiran belajar yang baik dan diaplikasikan dalam pembelajaran seharian untuk merangsang tahap pemikiran pelajar-pelajar secara sihat mengikut cara yang betul. 


            Selain itu, melalui kemahiran belajar, guru dapat menguasai tahap penerimaan yang baik terhadap isi pembelajaran yang baru.  Situasi ini mengambarkan tentang keadaan guru yang mempunyai pengetahuan dalam kemahiran belajar ini menunjukkan tahap keterbukaan terhadap sesuatu yang baru itu senang untuk diterima dan dapat mengaplikasikan dalam pembelajaran sesuai dengan matlamat falsafah pendidikan kebangsaan yang menegaskan perkembangan potensi diri individu iaitu, emosi, rohani, jasmani, dan intelek.  Selaras dengan matlamat itu, seorang guru itu haruslah mempunyai kemahiran belajar yang bersistematik supaya matlamat falsafah pendidikan kebangsaan dapat dicapai dengan cemerlang melalui titik keringat yang gigih dalam melahirkan anak bangsa yang berwibawa dalam ilmu pembelajaran dan ilmu akhirat.

            Seterusnya, kemahiran belajar yang penting untuk dikuasai oleh seorang guru ialah guru dapat menganalisis pelbagai maklumat daripada sumber-sumber pembelajaran dan pengajaran seharian.  Hal ini dapat menjelaskan tugas seorang guru dalam kemahiran belajar ini iaitu, guru dapat menganalisis pembelajaran seharian sama ada berkesan ataupun tidak.  Oleh yang demikian, kemahiran menganalisis pembelajaran melalui sumber-sumber maklumat perlu dilakukan oleh seorang individu yang bergelar guru sebelum memulakan pembelajaran agar pembelajaran dapat dijalankan secara teratur dan berkesan.

            Tambahan lagi, seorang guru memiliki keupayaan dalam membuat penilaian terhadap pelbagai sumber-sumber pembelajaran dan pengajaran harian.  Situasi ini memperlihatkan tentang perkara yang harus dititikberatkan oleh seorang guru sebelum memulakan pembelajaran iaitu, guru tersebut perlu membuat penilaian terhadap isi pembelajaran yang hendak disampaikan kepada pelajar-pelajar sama ada sesuai dengan keupayaan dan tahap kognitif kanak-kanak tersebut atau tidak sesuai.  Hal ini bertepatan dengan pendapat Piaget dalam buku Tuan Jah Tuan Yusof (2011), “kanak-kanak akan melalui peringkat perkembangan kognitif yang sama tetapi pada usia yang berbeza.  Kanak-kanak akan membina pengetahuan mereka secara aktif untuk memahami persekitarannya”.  Melalui pendapat ini dapat dilihat bahawa kanak-kanak atau pelajar mempunyai tahap pemikiran yang berbeza-beza mengikut umur dan tahap.  Oleh itu, guru haruslah menyediakan pembelajaran yang telah dinilai sebelum dijalankan dan bersesuaian dengan tahap kognitif pelajar yang diajar.

            Lantaran itu, cara-cara mengoptimumkan sumber-sumber pembelajaran dan pengajaran.  Seseorang guru mesti menguasai kemahiran belajar dalam aspek mengoptimumkan sumber-sumber pembelajaran supaya pembelajaran menarik untuk disampaikan kerana dapat memberikan pelajaran yang terbaik dan memenuhi kehendak minat pelajar serta mudah untuk difahami.  Langkah ini adalah satu keperluan dalam mencurahkan ilmu kepada jiwa-jiwa muda permata bangsa iaitu, guru mencari cara-cara ataupun teknik-teknik serta kaedah-kaedah yang terbaik untuk digunakan dalam pembelajaran bagi mewujudkan satu suasana yang harmonis dari segi pembelajaran dan pemahaman pelajar terhadap isi pembelajaran yang telah disampaikan oleh guru itu tadi.  Sebagai contoh, guru mencari jalan terbaik untuk mengajar pelajar-pelajar yang lemah dengan memberikan isi pembelajaran yang ringkas dan mengutamakan kefahaman pelajar terhadap isi pelajaran tadi. 
            Secara Kesimpulannya, implikasi kemahiran belajar yang mesti ada dalam diri seorang guru terhadap sistem pendidikan negara dapat meningkatkan kualiti hasil pendidikan kerana guru menganalisis maklumat, menilai maklumat, dan mengoptimumkan sumber untuk memilih segala kaedah, teknik yang sesuai, bermutu, berkualiti dan kreaktif dapat diterapkan dalam proses pembelajaran supaya negara dapat melahirkan generasi yang pintar hasil didikan guru berkemahiran.

No comments:

Post a Comment