Definisi
Pentaksiran merupakan satu proses mendapatkan malumat dan seterusnya membuat penghakiman serta pertimbangan tentang produk sesuatu proses pendidikan.
Dari konteks pendidikan pentaksiran merupakan satu episod dalam proses pembelajaran yang merangkumi aktiviti menghurai, mengumpul, merekod, memberi skor dan menginterpretasi maklumat tentang pembelajaran seorang pelajar bagi sesuatu tujuan. Pentaksiran juga merupakan satu proses untuk mendapatkan gambaran tentang prestasi pembelajaran seseorang dalam sesuatu subjek atau aktiviti pembelajaran. Aktiviti pentaksiran dijalankan secara berterusan.
Tujuan Pentaksiran
- · Proses mendapatkan gambaran tentang prestasi seseorang dalam pembelajaran
- · Menilai aktiviti yang dijalankan semasa pengajaran dan pembelajaran
- · Mendapatkan maklumat secara berterusan tentang pengajaran dan pembelajaran memperbaiki pengajaran-pembelajaran.
- · Merancang aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang tersusun dan sistematik bersesuaian dengan tahap keupayaan murid.
- · Melibatkan semua atau sebahagian besar murid dalam kelas secara efektif.
- · Merancang dan melaksanakan aktiviti tindak susul yang berkesan.
- · Memperbaiki pengajaran dan pembelajaran
PENGUJIAN
Definisi
Proses/prosedur yang sistematik bagi mengukur pencapaian pelajar yang biasanya dibuat secara bertulis. Tujuan pengujian ialah untuk menentukan pencapaian pelajar dalam sesuatu sesi pembelajaran.
Pengujian dapat dianggap sebagai proses penyerahan set soalan yang piawai yang perlu dijawab, atau satu set instrumen bersama satu prosedur yang sistematik bagi mengukur sampel tingkah laku atau perubahan seseorang individu atau pelajar.
Menurut Cronbach (1970)
“Ujian ialah satu prosedur yang sistematik untuk memerhati perlakuan atau tingkah laku seseorang individu dan menjelaskannya dengan batuan skala bernombor, atau satu sistem yang berkategori”.
Contoh skala bernombor ialah angka 30/100 untuk ujian penglihatan, 100/120 untuk ujian kecerdasan (IQ Test) dan 80/100 bagi ujian pencapaian bagi sesuatu mata pelajaran seperti Sains. Manakala contoh sistem berkategori pula ialah “ekstrovert” atau “introvert” bagi ujian personaliti, atau “rabun warna” bagi ujian penglihatan. Kepentingan pengujian bagi mengukur perubahan tingkah laku pelajar seperti yang dinyatakan di atas, dikukuhkan oleh Milagros 1981, (dipetik dari Raminah, 1991) yang menegaskan bahawa:
“Ujian adalah suatu cara untuk mendapatkan contohan perlakuan yang diperlihatkan oleh murid di dalam keadaan yang dikawal atau ditentukan. Maklumat yang diperoleh daripadanya akan dijadikan dasar untuk membuat penilaian atau pengadilan”.
(Raminah 1991:2).
Hasil daripada pemarkahan jawapan pelajar, satu ukuran yang disebut sebagai “markah” akan diberikan kepada pelajar tersebut. Pengujian menjelaskan tahapberapa baiknya prestasi pelajar yang diuji.
Proses pengujian lazimnya bermula dengan peringkat persediaan, diikuti pelaksanaan/ pentadbiran ujian dan berakhir dengan pemeriksaan skrip jawapan. Melalui pengujian inilah seseorang guru mengetahui sama ada pelajar-pelajarnya telah menguasai pengetahuan,kemahiran atau sikap yang ingin disampaikan guru.
Kesimpulannya, pengesanan hasil pengajaran dan pembelajaran boleh dibuat melalui pengujian, pengukuran dan penilaian yang tepat, yang dilaksanakan guru dalam bilik darjah. Justeru, kecekapan guru membangunkan alat pengujian amat penting, malah sama pentingnya dengan penguasaan guru terhadap kurikulum yang diajar bagi menjamin keberkesanan pengajaran dan pembelajaran.
PENILAIAN
Definisi
Penilaian merupakan satu proses untuk menghasilkan nilai kuantitatif untuk menentukan peringkat pencapaian dan kedudukan dalam pembelajaran. Penilaian merangkumi aspek pengujian dan pengukuran. Penilaian juga dapat didefinisikan sebagai satu proses/prosedur yang sistematik bagi membuat pertimbangan dalam menafsir hasil pengukuran, yang bertujuan untuk memberi maklumat tentang pencapaian akademik, kemahiran atau sikap.
Perkaitan pengujian, pengukuran dan penilaian
Diagnosis
Penilaian yang dijalankan oleh guru dalam bilik darjah akan dapat memberikan maklum balas kepada guru tentang tahap penguasaan pelajar terhadap pengetahuan dan kemahiran yang telah diajar. Selain itu, penilaian ini juga dapat memberi maklum balas tentang masalah yang dihadapi pelajar dalam pembelajaran. Dengan itu, guru dapat mengenal pasti kemajuan seseorang pelajar, sama ada pada tahap yang sangat memuaskan, memuaskan, sederhana,lemah atau tidak ada sebarang kemajuan langsung. Daripada penilaian yang dijalankan juga, guru dapat mengenal pasti pelajar yang cepat/cergas, yang memerlukan aktiviti pengayaan dan pelajar yang lemah yang memerlukan aktiviti pemulihan. Guru juga perlu membuat keputusan sama ada untuk mengubah strategi pengajaran, supaya ia lebih bersesuaian dengan keperluan pelajar atau mengulang pelajaran dengan menggunakan strategi yang sama dan sebagainya.
Penilaian yang dijalankan sepanjang tempoh pengajaran dan pembelajaran akan memperlihatkan kemajuan pelajar dalam jangka masa tertentu. Pengesanan kemajuan pelajar secara berterusan ini akan memberi maklum balas kepada guru tentang masalah yang dihadapi pelajar. Adakah pelajar mempunyai masalah dalam mempelajari dan menguasai pengetahuan dan kemahiran yang telah diajar? Sekiranya pelajar menghadapi masalah, guru akan menyelidik punca masalah tersebut. Maklumat berkenaan akan digunakan guru untuk mengubah pendekatan pengajaran atau menyediakan latihan yang khusus supaya masalah yang dihadapi pelajar dapat diatasi. Tanpa bantuan khas ini, pelajar-pelajar akan terus menghadapi masalah dan akibatnya mereka akan terus ketinggalan dalam pembelajaran.
Pencapaian
Penilaian yang dijalankan pada akhir sesi pengajaran dan pembelajaran dapat memberikan maklumat tentang tahap penguasaan para pelajar terhadap pengetahuan, kemahiran dan sikap yang ingin disampaikan guru. Selain itu, penilaian yang dijalankan pada akhir tempoh pengajian; misalnya pada akhir Tahun 6 (UPSR), Tingkatan 3 (PMR) dan Tingkatan 5 (SPM); adalah bertujuan untuk menentukan gred pencapaian para pelajar secara keseluruhan. Penilaian pada peringkat ini lebih bercorak formal dengan tujuan akhirnya untuk memberi sijil kepada pelajar.
Hasil penilaian ini akan menunjukkan pencapaian akademik pelajar mengikut gred yang diberikan, seperti cemerlang, sederhana atau gagal. Pihak sekolah akan dapat menentukan keupayaan keseluruhan seseorang pelajar berdasarkan pencapaian yang ditunjukkan dalam peperiksaan yang diduduki untuk tindakan selanjutnya, seperti pemilihan dan penempatan.
Pemilihan dan Penempatan
Bimbingan dan kaunseling
Tujuan lain Penilaian Ujian
Penilaian adalah penting sebelum pengajaran dan pembelajaran bermula kerana guru perlu meninjau sejauh manakah pelajar-pelajarnya menguasai pengetahuan dan kemahiran asas kepada tajuk yang hendak diajar. Misalnya, seseorang guru Bahasa Melayu yang akan mengajar pelajar bukan penutur asli bahasa Melayu, perlu mengetahui aspek pengetahuan dan kemahiran manakah yang telah mereka kuasai, seperti tatabahasa, perbendaharaan kata dan sebagainya. Maklumat ini penting untuk guru membuat keputusan dalam menentukan peringkat yang bersesuaian untuk memulakan pengajaran.
Selain itu, guru juga dapat memilih pelajar untuk dikelompokkan dalam sesuatu kumpulan berasaskan tahap penguasaan mereka. Sekiranya penguasaan mereka berbeza, guru perlu menempatkan mereka mengikut tahap penguasaan masing-masing dan seterusnya merancang dan melaksanakan pengajaran mengikut keperluan mereka yang berbeza-beza itu. Dalam keadaan ini, tujuan penilaian ialah untuk memilih dan menempatkan pelajar mengikut penguasaan pengetahuan dan kemahiran mereka.
Selain memulakan sesi pengajaran, tujuan penilaian juga ialah untuk memilih dan menempatkan pelajar mengikut aliran tertentu. Misalnya, keputusan pelajar yang cemerlang dalam mata pelajaran sains memungkinkan ditempatkan dalam aliran sains atau mengikut kecenderungan seseorang murid berkenaan.
Bimbingan dan kaunseling
Penilaian juga dapat digunakan untuk tujuan bimbingan dan kaunseling kepada pelajar yang memerlukannya. Setiap pelajar sepatutnya mempunyai motivasi untuk belajar dan ia mungkin bersifat intrinsik/dalaman, iaitu motivasi daripada dalam diri pelajar itu sendiri. Contohnya, mereka yang belajar disebabkan ingin mengetahui sesuatu dengan mendalam, akan memperoleh pencapaian yang baik dan seterusnya akan dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Selain motivasi yang bersifat intrinsik ini, terdapat pula motivasi yang bersifat ekstrinsik/luaran, iaitu motivasi daripada luar, seperti dorongan daripada ibu bapa/rakan sebaya atau nasihat daripada guru/guru besar.
Tujuan lain Penilaian Ujian
1. Membantu guru mengetahui keupayaan penguasaan pelajar.
2. Membantu guru dalam membuat perbandingan antara seseorang pelajar dengan rakan-rakannya atau antara kelas tersebut dengan kelas yang lain.
3. Membuat perbandingkan pencapaian pelajar dalam subejk tersebut dengan pencapaian dalam subjek lain.
4. Menentukan pelajar yang tinggi keupayaannya dan yang amat lemah keupayaannya dan lemah pencapaiannya
5. Membantu guru dalam menentukan pengayaan dan pemulihan bagi pelajar yang berkenaan.
6. Membantu guru dalam membuat jangkaan terhadap potensi atau bakat pelajar terhadap pembelajaran.
7. Membolehkan guru menilai bahan-bahan dan teknik serta kaedah pengajaran mereka.
8. Melalui ujian penilaian yang dilakukan guru dapat berusaha meningkatkan keberkesanan pengajaran mereka.
9. Pelajar berpeluang mengetahui kelemahan dalam sesuatu kemahiran atau bidang dan segera memperbaikinya.
No comments:
Post a Comment