Pages: nuffnang_bid = "a25e58467f783548fc

Thursday, 2 August 2012

Sejarah Bahasa Melayu



Sebelum Merdeka

            Menurut Ab. Rahman Ab. Rashid, et al. (1997), abad ke – 19, merupakan abad kebanjiran pendatang luar ke Asia Tenggara.  Ketika itu, pelbagai bangsa terutama dari Barat datang untuk menjajah Asia Tenggara.  Penjajah Inggeris menguasai negeri – negeri Melayu terutama di Semenanjung, Brunei, Sarawak dan Borneo Utara. Bangsa Eropah tersebut bukan sahaja menguasai perdagangan malah politik.  Bahkan negara – negara yang telah dikuasai itu terus dijadikan tanah jajahannya.  Untuk mengukuhkan penguasaan mereka, pihak penjajah telah mengkaji bahasa dan budaya peribumi, sehingga menubuhkan pusat – pusat pengajian tentang bahasa, sastera, dan budaya peribumi terutama Melayu di universiti – universiti di Barat seperti contohnya di negeri Belanda dan Inggeris.  Manuskrip – manuskrip Melayu dan bahan – bahan tinggalan sejarah, budaya dan sastera Melayu telah dikumpul di perpustakaan – perpustakaan di Barat.  Pada masa yang sama, penjajah Barat memperkenalkan beberapa teknologi moden nalat cetak, kapal api, kereta api, dan sebagainya termasuk penerbitan akhbar, majalah, dan jurnal serta pencetakan buku – buku dan kitab – kitab.
          
           Selain itu, perkataan – perkataan dari Barat seperti Inggeris mula meresap ke dalam bahasa Melayu sedikit demi sedikit, tetapi pasti.  Natijahnya, pusat kegiatan penulisan Melayu mula beralih dari istana – istana raja ke dalam masyarakat umum.  Dengan kata lain, kegiatan penulisan dalam bahasa Melayu sudah mula merakyat.  Hal ini terjadi kerana alat–alat cetak yang dibawa masuk oleh orang – orang Barat telah menyebabkan harga sesuatu tulisan itu menjadi murah dan mampu dibeli oleh rakyat yang berpendapatan sederhana.  Begitu juga dengan alat komunikasi sudah mula diperkenalkan sehingga membolehkan masyarakat ramai menerima maklumat-maklumat dengan lebih segera. 

No comments:

Post a Comment