Pages: nuffnang_bid = "a25e58467f783548fc

Thursday, 22 September 2011

contoh teks ucapan pengarah


TEKS UCAPAN PENGARAH PELAJARAN PERAK
SEMPENA
PERHIMPUNAN BULANAN BULAN DISEMBER 2010
JABATAN PELAJARAN PERAK
29 DISEMBER 2010-12-29

Bismillahirrahmanirrahim,
Terima kasih kepada saudara/i pengacara majlis,

Tn. Hj. Mohd. Idris Bin Hj. Ramli,
Timbalan Pengarah Pelajaran.

Tn. Hj. Mohd. Rozi Bin Puteh Ismail,
Ketua Sektor Pengurusan Akademik merangkap
Pengerusi Jawatankuasa Perhimpunan Pagi bulan Disember  

Semua Ketua Sektor,

Semua Pegawai Pelajaran Daerah,

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri Perak,

Semua pegawai, tuan-tuan dan puan-puan.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.

Saya memanjatkan rasa syukur ke hadrat Ilahi kerana dengan izinNYA, Jawatankuasa Pengelola Perhimpunan Pagi yang diketuai oleh Ketua Sektor Pengurusan Akademik telah berjaya mempertemukan kita semua di pagi ini untuk berkongsi ilmu, pengalaman, kegembiraan dan aspirasi.  Atas komitmen dan kesungguhan yang ditunjukkan oleh seluruh warga Sektor Pengurusan Akademik, saya ucapkan ribuan terima kasih dan tahniah. Jelas terzahir kepada saya kesepaduan kerja yang begitu baik walaupun masing-masing sentiasa bergerak ke sana ke mari menguruskan tugas-tugas lain. 

Tuan-tuan dan puan-puan,

Bila kita bercakap tentang kesepaduan, kita perlu faham banyak perkara.  Perkara paling asas ialah kesepaduan idea.  Jika di peringkat menggembeleng idea pun sukar kita lakukan, maka  kita sebenarnya terlalu jauh dengan kecemerlangan dan kehebatan.  Dengan kata lain, mustahil bagi kita untuk MEREALISASIKAN IMPIAN.    

Tun Dr. Mahathir pernah menulis, “Rakyat Malaysia menghabiskan banyak masa untuk berdebat mengenai sesuatu idea baru itu supaya ianya tidak perlu dilaksanakan".  Di awal tahun 1980an dulu, idea untuk menyelaraskan waktu di antara Malaysia Barat dengan Malaysia Timur menerima tentangan yang cukup hebat. Begitu juga dengan idea untuk membangunkan industri kereta nasional,...juga menerima tentangan. Pengurangan pekerja-pekerja pam minyak pun juga tidak di terima rakyat.  Bermacam-macam pendapat diberikan oleh semua pihak, yang cuba membuktikan idea-idea tersebut adalah idea yang merugi dan mendatangkan kemudaratan.  Tetapi, cuba kita lihat sekarang.  Penyelarasan waktu setengah jam di antara Malaysia Barat dan Malaysia Timur tidak merugikan rakyat.  Kereta Proton yang dibina masih boleh bertahan, masih mampu bersaing.  Kenapa impian ini boleh menjadi kenyataan?.  Jawapannya....kerana mereka sanggup berubah dan berfikiran positif, selain berusaha secara luar biasa.   

Jika kita semua juga membudayakan sikap negatif sebegini, maka saya yakin bahawa negeri Perak akan terus kekal di tangga 13, 14, 15 atau 16 setiap kali keputusan peperiksaan awam   diumumkan.

Walaubagaimanapun, saya yakin dan percaya bahawa warga JPN dan warga pendidikan di Perak keseluruhannya terdiri daripada mereka yang cemerlang dan mampu menyatukan idea-idea menjadi sesuatu yang bernas dan praktikal untuk dilaksanakan.   Jadi saya mahu semua Ketua Sektor, PPD dan pegawai-pegawai kanan yang menjadi Master Planner di JPN dan di daerah supaya berusaha untuk memastikan PERAK DI PUNCAK KECEMERLANGAN melalui Perancangan Strategik JPN. 

Semua orang mesti memahami aspirasi yang dinyatakan di dalam Perancangan Strategik.  Pelaksanaan Perancangan Strategik JPN ini seharusnya dalam bentuk bersepadu...dan bukan terpisah-pisah mengikut sektor masing-masing.  Oleh kerana kita mensasarkan kedudukan sekurang-kurangnya di tempat kelima dalam UPSR, PMR dan SPM,...bukan bermakna tanggungjawab ini perlu dipikul oleh Sektor Pengurusan Akademik dan Sektor Pendidikan Islam semata-mata.  Dan bukan pula menjadi tanggungjawab Sektor Pembangunan Kemanusiaan sepenuhnya kerana kecemerlangan kokurikulum dan sukan dijadikan sasaran tahun 2011.  Semua Sektor dan PPD perlu menjadi pelengkap di antara satu sama lain untuk MEREALISASIKAN IMPIAN ini.  

Tuan-tuan dan puan-puan,

Terjemahan Perancangan Strategik secara praktikal melalui Sasaran Kerja Tahunan (SKT) mesti difahami dan dihayati oleh semua.  Jika semua orang memahami SKT dan berusaha mencapai apa yang dirancangkan, maka negeri Perak akan berjaya.   Untuk memastikan ada kesinambungan idea dan usaha, SKT Sektor akan dijadikan asas SKT PPD dan SKT PPD pula menjadi asas kepada SKT pengetua dan guru besar. 

Kenapa mesti ada kesinambungan ? Kita semua perlu bekerja dalam ruang lingkup SKT kerana budaya kerja kita diasaskan kepada perkara tersebut.  Kita berusaha untuk menyediakan generasi yang sama sifat cemerlangnya. Saya minta semua penggerak dasar kementerian yang ada di sini yang juga merupakan perancang dan pelaksana dasar-dasar operasi supaya berfikir dan melihat adakah berlakunya compartmentalization dalam melaksanakan semua program di semua peringkat.   Jangan kita merancang dan melaksanakan program bersendirian tetapi memfokuskan kepada kumpulan sasaran yang sama dengan input yang hampir sama.  Dan juga, jangan ada di dalam pemikiran sesiapa pun untuk menjadi hebat secara bersendirian dengan merancang pelbagai program yang besar sedangkan program seumpama itu juga dilaksanakan oleh pihak lain.  Jika ini berlaku, bermakna kita berlumba sesama sendiri untuk menjadi yang terbaik dan bukannya berusaha menjulang nama Negeri Perak secara menyeluruh.  Pada pandangan saya, kumpulan-kumpulan ini sebenarnya tidak cekap dan selesa bekerja dalam silo.  

Tuan-tuan dan puan-puan,

Lukman Al Hakim pernah berkata, ada dua orang yang paling gagal dalam hidup iaitu orang yang tidak cekap membuat apa-apa yang disuruh dan orang yang hanya membuat perkara yang disuruh. Kumpulan inilah nanti yang akan menghalang transformasi minda,  yang  anti kepada perubahan, yang mempunyai pemikiran yang jumud dan statik serta tidak mempunyai cita-cita untuk cemerlang. 

Saya membawa pemikiran tuan-tuan dan puan-puan kepada perkara ini supaya kita sentiasa sedar dan berfikir secara dinamik. Kerana apa yang kita fikirkan itulah yang dizahirkan melalui kerja kita dan seterusnya menjadi budaya.  Usaha yang mendatangkan hasil yang baik adalah usaha yang berdasarkan kepada perancangan yang teliti dan bersepadu.  Tambahan pula, outcome yang kita sasarkan adalah kecemerlangan hidup alam dewasa kanak-kanak.  Kanak-kanak yang kita didik di sekolah begitu kompleks dan pembangunannya memerlukan pendekatan  yang berbagai untuk mencemerlangkan potensi, sahsiah dan intelektual.  


Sebelum mengakhiri ucapan saya pada hari ini, suka saya menyebut satu pepatah Cina untuk renungan bersama. Kata pepatah tersebut:


“Manusia berjiwa besar mengukuhkan hubungan harmoni antara satu sama lain tetapi tidak mewujudkan puak-puak. Manusia berjiwa kerdil mengukuhkan puak-puak tetapi gagal mewujudkan suasana harmoni.”


Akhir sekali, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak kerana peningkatan kualiti yang agak cemerlang dalam  PMR yang baru diumumkan.  Begitu juga dengan pencapaian pasukan PSKPP Perak yang mendapat tempat ketiga di peringkat kebangsaan.  Dan bersama kita pada hari ini ialah Pasukan KIK negeri Perak daripada Sekolah Menengah Teknik Slim River yang telah berjaya mengharumkan nama Negeri Perak kerana muncul sebagai Johan Kebangsaan dalam pertandingan inovasi.  Tahniah kepada semua. 

Jika boleh, ingin saya katakan kepada semua bahawa kejayaan itu adalah satu permulaan kepada beberapa siri kejayaan cemerlang selepas ini.  Insya Allah.

Dengan itu, saya sudahi ucapan saya dengan wabillahitaufik wal hidayah wassalamualaikum.

No comments:

Post a Comment