Menurut (Kamarudin Hj. Husin), dalam laman sesawang Anuar (2009/http://anuarsped.blogspot.com/2009/04/kemahiran-lisan.html), bertutur adalah kegiatan melafazkan bunyi-bunyi yang dilahirkan daripada alat sebutan (artikulator), ia merupakan kemahiran berinteraksi dalam suasana berbahasa manusia. Kemahiran bertutur dikuasai oleh kanak-kanak hasil daripada meniru atau mengajuk pertuturan orang dewasa di sekelilingnya. Rangsangan dan ganjaran yang diterimanya akan menggalakkannya mengulang-ulang perkataan yang disebutnya sehingalah ia dapat menguasai pertuturan yang lebih kompleks. Apabila kemahiran bertutur sudah dikuasai, kanak-kanak akan mula berinteraksi dengan orang lain di sekelilingya. Sebab itulah orang dewasa perlu menunjukkan model pertuturan yang baik kepada kanak-kanak bagi membolehkan mereka bertutur dengan berkesan.
Kemahiran bertutur merupakan kemahiran penting yang dikuasai oleh semua orang. Kemahiran bertutur amat berkait rapat dengan kemahiran mendengar. Hal ini kerana secara fitrahnya manusia tidak hanya mendengaratau bertutur semata-mata, sebaliknya mereka melakukan aktiviti mendengar dan bertutur pada masa yang sama. Dengan kata lain, manusia boleh menuturkan sesuatu ujaran dan dalam masa yang sama menginterprestasikan serta memahami bunyi ujaran orang lain yang sering kali didengar. Justeru, kemahiran mendengar dan bertutur yang diaplikasikan atau dijalankan di sekolah-sekolah lazimnya akan dijalankan secara beriringan, iaitu antara kemahiran bertutur dan kemahiran mendengar.
Selain itu, penguasaan bahasa dalam kalangan kanak-kanak berlaku secara beransur-ansur, iaitu bermula daripada kemahirannya mendengar pertuturan orang di sekitarnya. Pada masa yang sama, kanak-kanak ini akan cuba mengajuk bunyi yang didengarnya itu dan akhirnya dapat menuturkan bunyi-bunyi bahasa tersebut. Hal ini bermakna kemahiran mendengar dan bertutur dikuasai oleh kanak-kanak lebih dahulu daripada kemahiran membaca dan menulis.
Akhir sekali, kemahiran bertutur mempunyai hubungan dengan operasi mental kerana ia merupakan penginterprestasian ujaran, iaitu proses yang membolehkan individu memahami dan menelah ujaran yang didengar. Dengan kata lain, kemahiran bertutur berlaku pada peringkat produksi atau pelahiran. Individu yang mempunyai kemahiran bertutur yang baik dapat mempertingkatkan keyakinan diri dalam bersosialisasi. Bertutur sebagai medium komunikasi melibatkan tiga perkara asas, iaitu siapa yang berkata, apa yang diperkatakan dam siapa pendengarnya
No comments:
Post a Comment