Pages: nuffnang_bid = "a25e58467f783548fc

Wednesday, 21 September 2011

definisi semantik

Menurut Siti Hajar Abdul Aziz (2009), semantik berasal daripada perkataan Greek, iaitu semantikos yang membawa maksud memberikan tanda, sesuatu gejala atau tanda atau sesuatu yang bermakna.  Semantik bermula daripada perkataan sema yang merujuk kepada aspek makna atau maksud, iaitu makna seperti yang diungkapkan dalam sesuatu bahasa atau sistem tanda yang lain.  Merujuk kepada bahasa Inggeris, meaning, mean, meant dan means kesemuanya merujuk kepada makna atau maksud yang boleh digunakan dalam pelbagai situasi.
            Selain itu, perkataan semantic yang digunakan pada hari ini berasal daripada bahasa Perancis, iaitu semantique.  Perkataan ini digunakan  oleh Michael Breal sejak abad ke-19 lagi.  Semantik amat berbeza jika dibandingkan dengan sintaksis kerana semantik mengkaji makna, manakala sintaksis mengkaji struktur bagi sesuatu sistem tanda.  Hal ini menegaskan bahawa sintaksis berfokuskan kepada bentuk dan bukan makna.  Disebaliknya, semantik pula dapat dikaitkan dengan bidang pragmatik.  Bidang pragmatik bermaksud mengkaji penggunaan tanda mengikut konteks oleh pengguna atau penutur bahasa.  Semantik juga bermaksud satu kajian yang teoritikal berkaitan dengan makna dalam sistem tanda.  Secara umumnya, semantik mempunyai dua jenis ekspresi makna.  Misalnya, ‘Pensyarah Bahasa Melayu saya Encik Rani’.  Dalam konteks ayat tersebut menerangkan hubungan penyataan  yang boleh dibahagikan kepada beberapa unsur (tanda), benda dan keadaan dalam dunia sebenar.  Selain itu, ayat tersebut menerangkan hubungan pada tanda – tanda itu dengan tanda lain yang juga disebut sebagai konsep.
            Selanjutnya, menurut Akmajian et al. (1995: 222), menyatakan bahawa dalam bidang linguistik, semantik bermaksud kajian tentang makna dan bahasa.  Semantik berkaitan dengan kajian berkaitan unit linguistik dan prinsip gabungannya.  Dalam bidang logik, semantik dilihat atau ditafsirkan sebagai kajian tentang rujukan linguistik atau denotasi dan syarat kebenaran.  Kajian semantik boleh dibuat dari aras kata atau pada aras yang paling tinggi , iaitu kalimat yang terhasil daripada frasa dan ayat.  Fakta semantik merupakan maklumat atau bahagian penting dalam tatabahasa kerana tatabahasa digunakan untuk menghuraikan sesuatu bahasa.
            Seterusnya, menurut Stalnaker (1972: 383), menyatakan bahawa sintaksis mengkaji ayat, manakala semantik mengkaji preposisi.  Tokoh ini telah menjelaskan bahawa semantik memperjelas peraturan untuk menyesuaikan ayat dalam bahasa dengan preposisi yang diungkapkan.  Dalam semua perkara, peraturan tersebut sememangnya tidak mendapat penyesuaian ayat secara terus dengan preposisi.  Sebaliknya, penyesuaian ayat dengan preposisi berkaitan dengan konteks ayat tersebut digunakan.
            Tambahan lagi, semantik ialah kajian tentang makna yang diaplikasikan pada spek makna ayat dari segi bentuk logiknya.  Menurut Sperber dan Wilson (1980), yang memperkenalkan Semantik Sistem Penuh berpendapat pada situasi yang sebenar bahawa konsep semantik tidak dapat menerbitkan makna sebenar sesuatu ujaran kerana ia mengabaikan konteks dan kontekstualiti.  Sebaliknya, perkara yang diutamakan ialah bentuk logik yang membentuk sebahagian daripada nahu sesuatu bahasa.  Hal ini menerangkan bahawa semantik mengkaji makna dari segi permaknaan pada peringkat linguistik tulen.  Dengan erti kata lain, kajian semantik khusus pada peringkat tatabahasa dan nahu bentuk logik sahaja.
            Lantaran itu, menurut Siti Hajar Abdul Aziz (2009), sematik ialah bidang kajian tentang aspek makna dalam bidang ilmu linguistik.  Semantik sebahagian daripada bidang kajian tatabahasa secara khusus, iaitu merujuk kepada kajian yang melibatkan struktur dalam sesuatu bahasa seperti juga aspek kajian fonologi, morfologi dan sintaksis.  Semantik merupakan komponen tatabahasa yang sukar difahami kerana berkaitan dengan perkara abstrak yang memerlukan taakulan yang tinggi.  Sehubungan itu, hingga kini suatu teori makna dalam bidang linguistik yang bersifat autoritatif serta menyeluruh belum dapat diketengahkan secara mantap.
            Sehubungan itu, semantik ialah kajian linguistik yang menanalisis makna baik pada peringkat morfem, kata, frasa, ayat atau wacana dan hubungannya dengan idea, konsep dan emosi.  Makna diertikan sebagai maksud, idea atau konsep yang boleh dipindahkan daripada fikiran penutur kepada fikiran pendengar.  Semantik atau makna merupakan situasi apabila penutur mengujarkan kata dan mendapat gerak balas seperti yang dijangkakan daripada pendengar.  Makna ujaran atau ayat bukan ditentukan oleh makna kata semata – mata, tetapi juga faktor lain seperti intonasi, gaya pengucapan, tujuan, konteks penutur dan pendengar.  Pendapat lain mengenai semantik mengikut pendapat tokoh, iaitu menurut Sperber dan Wilson (1980), memberi pengertian semantik sebagai kajian tentang makna yang diaplikasikan pada aspek makna ayat dari segi logiknya, khususnya pada peringkat tatabahasa dan nahu bentuk logik.
  Akhir sekali, melalui laman sesawang Rujuk Nota (2009/http://rujuknota.blogspot.com/2009/09/definisi-semantik.html), istilah ‘semantik’ berasal dari perkataan Yunani ‘semantickos’ yang bermaksud ‘penting; bererti’.  Semantik ialah cabang linguistik  yang akan membahas erti atau makna J.W.M. Verhar (1996) dalam laman sesawang ini.  Menurut Kamus Dewan (1997: 1228) dalam laman sesawang ini, semantik ialah bidang yang mengkaji dan menganalisis makna kata dan ayat.  Manakala, menurut Abdul Chaer (1994), dalam laman sesawang ini, semantik ialah kajian tentang makna perkataan dan penambahan makna sesuatu makna kata.

No comments:

Post a Comment