Pages: nuffnang_bid = "a25e58467f783548fc

Wednesday, 21 September 2011

teori imejan

Menurut Siti Hajar Abdul Aziz (2009), teori imejan merujuk makna sesuatu perkataan berhubung dengan imej yang terbayang dalam minda penutur atau pendengar.  Imej yang dimaksudkan ini tidak bersifat visual kerana ia tidak dapat menepati gambaran sebenar yang dimaksudkan atau yang telah sedia ada.  Misalnya, kereta buruk itu mungkin mempunyai beberapa imej bagi satu ungkapan dan dalam keadaan yang lain mungkin wujud pula beberapa ungkapan yang berkongsi imej yang sama.  Imej yang dirujuk tentang sesuatu perkara bergantung pada pengetahuan dan pengalaman yang berbeza bagi seseorang.  Misalnya, imej kata ‘kopek’ bagi masyarakat  di Johor bermaksud memisahkan isi daripada tulang ikan bilis, manakala kata ‘kopek’ bagi masyarakat Kelantan bermaksud payudara.  Namun demikian, terdapat segolongan perkataan yang tidak dapat dikaitkan dengan sebarang imej seperti perkataan dan, atau, tetapi, manakala dan sebagainya.  Hal ini kerana perkataan sedemikian secara konsepnya tidak mempunyai sebarang makna.  Sebaliknya, dari segi penggunaan dan konteks yang tertentu, perkataan tersebut mampu memberikan makna kepada ayat dan tidak boleh digunakan secara sewenang-wenang.
            Selain itu, melalui laman sesawang (2009/http://cikgimoon.blogspot.com/2009/10/teori-semantik.html), teori imejan merupakan pendekatan saintifik dalam penghuraian makna yang digunakan secara meluas oleh pengkaji-pengkaji linguistik tradisional.  Mereka bersetuju bahawa setiap perkataan yang disebut, didengar, dan dibaca akan dapat ditafsirkan secara automatik oleh fikiran masing-masing.  Teori ini juga dikenali sebagai Teori Imej Makna ini didefinisikan sebagai imej makna yang tergambar dalam minda penutur atau perkara yang disebut.  Dalam erti lain, makna kata dihuraikan berdasarkan gambaran yang ada dalam fikiran seseorang.  Sesuatu perkataan dibaca, didengar, dan disebut tergambar dalam fikiran dan ditafsir sehingga memberi makna yang abstrak.  Imej yang dimaksudkan ini bagaimanapun tidak bersifat visual kerana ia tidak menepati gambaran sebenar yang dimaksudkan secara tepat.  Hal ini bergantung kepada keluasan pengalaman dan ilmu yang dimiliki oleh individu itu sendiri.  justeru, kekurangan teori ini adalah imej yang tergambar dalam fikiran seseorang itu betul atau salah.  Individu itu mungkin mempunyai beberapa imej bagi satu ungkapan atau pun dalam situasi yang lain mungkin wujud pula beberapa ungkapan yang berkongsi imej yang sama.  Pada hakikatnya, satu nama boleh mempunyai lebih daripada satu pengertian dan juga sebalikya.
Misalnya frasa ‘bunga di jambangan’.  Farid yang kurang membaca dan tinggal di kawasan pedalaman mungkin hanya memahami frasa ini sebagai beberapa kuntum bunga di dalam pasu yang dijadikan sebagai hiasan di atas meja. Sebaliknya bagi Asiah yang rajin menelaah buku dan majalah mungkin memahami bahawa frasa itu mempunyai dua maksud, iaitu bunga hiasan dan anak gadis yang diibaratkan seperti bunga dalam masyarakat Melayu.
Contoh kedua ialah ‘tok mudim’.  Bagi golongan orang dewasa khususnya pada zaman dahulu, tok mudim ini dihormati kerana jasanya mengkhatankan anak-anak kecil di kampung.  Khidmat yang diberikan kepada masyarakat setempat ini amat dihargai kerana kemudahan pada zaman itu adalah sukar didapati dan bayaran yang dikenakan untuk berkhatan di klinik kebanyakannya di luar kemampuan masyarakat.

Situasi yang berbeza berlaku jika panggilan ‘tok mudim’ ini disebut kepada kanak-kanak lelaki.  Semerta, akan terbayanglah dalam fikiran mereka imej lelaki tua yang mempunyai raut wajah yang garang, dihiasi misai lebat dan melingkung di hujungnya sambil memegang pisau yang tajam berkilat.  Oleh yang demikian, tidak hairanlah apabila terjadi kes kanak-kanak yang bakal berkhatan menghilangkan diri apabila masa untuk upacara itu sudah tiba.

No comments:

Post a Comment