Pages: nuffnang_bid = "a25e58467f783548fc

Wednesday, 21 September 2011

kemahiran lisan

Menurut Anuar melalui laman sesawang (2009/http://anuarsped.blogspot.com/2009/04/kemahiran-lisan.html), lisan adalah pertuturan atau percakapan. Apabila seseorang bertutur, ia bukan hanya melibatkan kemahiran bertutur sahaja tetapi juga melibatkan kemahiran mendengar. Ini bermakna kemahiran lisan merangkumi dua kemahiran penting iaitu mendengar dan bertutur. Bagi menguasai kemahiran lisan dengan baik, seseorang itu perlu menguasai kedua-dua kemahiran ini. Sebagai contoh, kanak-kanak yang mengalami masalah pendengaran akan mengalami masalah pertuturan juga. Malah bagi kes masalah pendengaran yang teruk (pekak), kanak-kanak tersebut tidak dapat bertutur langsung atau dikatakan sebagai bisu.
Kemahiran lisan merupakan kemahiran asas yang perlu dikuasai oleh setiap individu yang bergelar manusia .  Bagi kanak-kanak, kemahiran ini perlu dikuasai terlebih dahulu sebelum mereka menguasai kemahiran bahasa yang lain.  Kanak-kanak yang dapat menguasai kemahiran lisan dengan baik, biasanya dapat menguasai kemahiran lain dengan baik juga.  Kemahiran lisan meliputi kemahiran mendengar dan bertutur dan begitu juga sebaliknya.  Pertuturan yang baik bukan bermakna seseorang itu meniru cara atau gaya percakapan orang lain, tetapi diperoleh hasil daripada mendengar dengan baik ujaran penutur.  Justeru, untuk menguasai kemahiran lisan tersebut,  pelajar perlu dilatih untuk menggunakannya secara kerap dan mengajarkan secara terancang serta sistematik.
Akhir sekali, lisan merupakan percakapan atau pertuturan, iaitu kegiatan meluahkan atau melahirkan bahasa secara verbal melalui suara atau sebutan.  Seseorang individu akan bercakap menggunakan bahasa yang dikuasai.  Seseorang individu akan mengujarkan sesuatu ketika berinteraksi atau berkomunikasi dengan orang lain.  Keperluan untuk berkongsi maklumat dan berinteraksi merupakan sifat semulajadi atau fitrah manusia.  Hal demikian, tujuan menguasai kemahiran lisan bukan semata-mata untuk mempelajari bahasa, tetapi untuk mencapai tahap kompetensi dalam berkomunikasi.  Individu yang tidak dapat menguasai kemahiran lisan dengan baik akan mendatangkan masalah kepada dirinya, iaitu dia tidak dapat memahami pertuturan orang lain dan bertindak balas terhadapnya.

No comments:

Post a Comment